KUALA LUMPUR, MALAYSIA, 11 Ogos 2026 – Malaysia sekali lagi mencipta sejarah dalam landskap tenaga lestari serantau apabila Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Ke-7 2026 secara rasmi membuka tirainya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sekali gus memperkukuh komitmen negara sebagai peneraju peralihan tenaga dan pembangunan mampan di rantau ini.
Persidangan ini menyatukan penggubal dasar, peneraju industri, pelabur, institusi kewangan, penyelidik dan pakar tenaga dari seluruh ASEAN serta komuniti antarabangsa bagi memperkukuh kerjasama rentas sempadan dan mempercepat peralihan rantau ini ke arah masa depan tenaga yang lebih bersih, berdaya tahan dan saling berhubung.
Dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dengan sokongan Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE), persidangan tahun ini mengangkat tema ‘Envisioning Sustainable Energy Beyond Borders’ (Memacu Tenaga Lestari Merentasi Sempadan). Tema tersebut mencerminkan kepentingan kerjasama serantau dalam menangani cabaran bersama berkaitan keselamatan tenaga, penyahkarbonan, inovasi teknologi dan pertumbuhan ekonomi mampan.
Persidangan ini telah dirasmikan oleh Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir. Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Pengerusi SEDA Malaysia serta Penasihat ISES Ke-7 2026, YBhg. Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YBhg. Dato’ Sri Haji Mad Zaidi Mohd Karli; serta Pengerusi Penganjur ISES Ke-7 2026 merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia, YBhg. Dato’ Hamzah Hussin.
Program ini turut menyaksikan pelancaran rasmi Dasar dan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2026–2035 (NEEAP 2.0), iaitu rangka kerja strategik yang menetapkan fasa seterusnya bagi inisiatif kecekapan tenaga Malaysia. PETRA pada hari ini melancarkan NEEAP 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2035 bersempena dengan Majlis Perasmian 7th ISES.
SEDA Malaysia berbesar hati mengumumkan senarai pembida yang berjaya bagi permohonan kuota Feed-in Tariff (FiT) tahun 2026 secara e-bidaan yang telah memenuhi semua syarat kelayakan serta kriteria penilaian yang ditetapkan oleh SEDA Malaysia.
Bagi tahun 2026, SEDA Malaysia telah menerima sebanyak 48 permohonan bagi projek biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil. Sebanyak 42 permohonan telah diluluskan dengan kapasiti eksport bersih berjumlah 331.36 MW.
Projek-projek yang diluluskan merangkumi:
- 16 projek biogas dengan kapasiti berjumlah 26.19 MW;
- 11 projek biojisim dengan kapasiti berjumlah 135.94 MW; dan
- 15 projek hidrokuasa kecil dengan kapasiti berjumlah 169.23 MW.
Projek-projek FiT yang diluluskan dijangka menjadi pemangkin kepada pelaburan bernilai sekitar RM4.3 bilion, sekali gus menguatkan keyakinan pelabur terhadap sektor tenaga boleh baharu (TBB) di Malaysia.
Pelaksanaan projek-projek tersebut juga dijangka mewujudkan sekitar 7,738 peluang pekerjaan, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan industri dan peralihan negara ke arah masa depan tenaga yang lebih lestari serta rendah karbon.
Pelaksanaan projek TBB baharu di bawah mekanisme FiT ini adalah sebahagian daripada komitmen PETRA dalam meningkatkan kapasiti campuran TBB dalam pembekalan elektrik negara kepada 70% menjelang tahun 2050. Usaha peningkatan kapasiti sumber biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil ini juga akan memperkukuhkan lagi daya harap pembekalan elektrik negara dengan mempelbagaikan sumber penjanaan TBB selain membekalkan bekalan elektrik yang bersifat firm atau konsisten.
Sepanjang program dua hari ini, ISES 2026 akan menampilkan sesi plenari peringkat tinggi, perbincangan pakar yang merangkumi pelbagai topik strategik, termasuk kerjasama tenaga serantau, fleksibiliti grid, penyimpanan tenaga, pembiayaan mampan, biotenaga, kecekapan tenaga dan pengurusan permintaan tenaga, tenaga boleh diperbaharui generasi baharu, bahan api bersih serta pelbagai penyelesaian inovatif lain yang dapat mempercepat peralihan tenaga lestari ASEAN.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang dan media sosial rasmi kami:
Laman sesawang: https://ises.gov.my/
Facebook: https://www.facebook.com/SustainableEnergyDevelopmentAuthoritySEDAMalaysia
Instagram: https://www.instagram.com/sedamalaysia/
TikTok: https://www.tiktok.com/@sedamalaysia
X: https://x.com/SEDAMalaysia
Mengenai SEDA Malaysia
Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia merupakan sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). SEDA Malaysia ditubuhkan pada September 2011 di bawah Akta SEDA 2011 [Akta 726] dengan tujuan utama untuk memacu agenda tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga negara.
Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi:
E-mel: [email protected]
Ms. Chloe Chow | +6019-612 4737
Ms. Daphne Tan | +6019-757 0918

