Biogas didefinisikan sebagai gas yang dihasilkan oleh pencernaan anaerobik atau fermentasi bahan organik di bawah pengaruh anaerobik termasuk tetapi tidak terhad kepada bahan kumbahan, sisa pepejal perbandaran dan bahan buangan biodegradasi yang berasal dari Malaysia. Teknologi biogas merujuk kepada sistem yang direka untuk menukar produk-produk buangan organik menjadi tenaga yang boleh digunakan. Biogas biasanya terdiri daripada gas metana dan karbon dioksida serta sejumlah kecil gas lain seperti nitrogen dan hidrogen. Gas metana adalah gas yang amat mudah terbakar. Penggunaan biogas sebagai bahan api bagi enjin gas boleh menjana tenaga elektrik dan haba. Biogas merupakan sumber boleh baharu dan memenuhi syarat bagi mekanisme tarif galakan.
Biogas dapat dihasilkan melalui loji pencerna anaerobik dengan mencerna sisa pepejal perbandaran atau sisa buangan terbiodegradasi. Proses pencernaan tersebut akan mencerna sisa pepejal menjadi gas metana. Gas metana ini adalah salah satu sumber boleh baharu yang dapat digunakan untuk menjana tenaga elektrik.
Biogas daripada pelupusan sampah adalah dihasilkan daripada sumber sisa organik yang terurai dalam keadaan anaerobik di tapak pelupusan sampah. Sisa pepejal akan dikambus dan dimampatkan bagi pembiakan mikrob anaerob. Gas ini terhasil dan dibebaskan secara perlahan. Gas ini boleh digunakan untuk tenaga haba dan elektrik, selain penggunaan bagi variasi enjin pembakaran dalaman.
Biogas mempunyai potensi dan kebaikan pada masa akan datang dalam membantu mengurangkan kesan perubahan iklim global. Kebiasaannya sisa kumbahan, sisa pepejal perbandaran dan sisa biodegradasi yang dibiarkan terurai dan akan membebaskan dua gas utama yang menyebabkan perubahan iklim global seperti gas nitrat dioksida dan gas metana. Gas nitrat dioksida boleh memanaskan atmosfera 310 kali ganda lebih daripada karbon dioksida. Manakala, gas metana adalah 21 kali ganda lebih daripada karbon dioksida. Di samping itu, kita dapat menikmati penjimatan bahan api fosil, melindungi hutan, memungkinkan pengeluaran arus elektrik, dan mengurangi pencemaran udara dan air.