Di bawah Program NEM Rakyat, pengguna domestik yang memasang sistem fotovolta suria (PV) di bumbung premis akan menggunakan tenaga yang dihasilkan terlebih dahulu dan lebihan tenaga yang dihasilkan akan dieksport ke grid TNB. Kredit yang diterima daripada lebihan tenaga tersebut akan digunakan semula untuk mengimbangi bil elektrik berdasarkan imbangan “one-on-one offset” dalam tempoh 10 tahun pengoperasian.
Konsep NEM Rakyat
| Kuota Ditawarkan | Kriteria Kelayakan | Kategori Tarif | Had Kapasiti Pepasangan |
|---|---|---|---|
| 700MWac | • Pengguna elektrik yang berdaftar atau sedang memohon untuk berdaftar dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Semenanjung Malaysia • Pengguna Domestik yang tiada pepasangan fotovolta suria di bawah mana – mana program fotovolta suria yang lain *Pengguna Domestik bermaksud pengguna yang menduduki premis kediaman persendirian yang tidak digunakan sebagai hotel, asrama atau tujuan menjalankan segala bentuk perniagaan, perdagangan, kegiatan profesional atau perkhidmatan |
Domestik | • Fasa tunggal – 5 kWac • Tiga Fasa – 12.5 kWac |
Manfaat NEM Rakyat
Tenaga yang dihasilkan oleh pengguna NEM Rakyat akan digunakan terlebih dahulu dan ini akan menyebabkan tenaga yang diimport daripada pembekal utiliti elektrik berkurangan. Di kebanyakan negara, program NEM dapat melindungi pengguna domestik dari kenaikan kadar tarif elektrik di masa akan datang. Ianya amat relevan terutamanya kepada pengguna yang berada di bawah kadar tarif elektrik yang tinggi.
Lebihan tenaga yang tidak digunakan akan dieksport ke grid TNB berdasarkan kadar pengimbangan “one-on-one offset”. Keutamaannya adalah untuk penggunaan sendiri, namun kebanyakan pengguna domestik mungkin tidak berada di dalam rumah semasa hari bekerja dan mungkin mempunyai lebihan tenaga yang boleh dieksport ke grid. Lebihan tenaga tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun pengguna dan boleh digunakan semula dalam tempoh maksimum 12 bulan.

