YBrs. Tuan Haji Ir. Roslee Esman
Anggota Pihak Berkuasa
YBrs. Tuan Haji Ir. Roslee Esman telah dilantik sebagai Anggota Pihak Berkuasa untuk Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia pada 1Jun 2025. Berpengalaman luas melebihi 30 tahun di dalam sektor tenaga, beliau mempunyai kepakaran mendalam dalam bidang kejuruteraan mekanikal, pembangunan industri gas dan perancangan tenaga lestari. Kini, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan Industri di Suruhanjaya Tenaga (ST), di mana beliau mengetuai perancangan strategik industri tenaga negara bagi menjamin keselamatan bekalan, memenuhi keperluan tenaga masa hadapan serta memacu agenda tenaga lestari negara sejajar dengan sasaran Pelepasan Sifar Bersih 2050 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Ir. Roslee merupakan Jurutera Profesional berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dan ahli Institut Jurutera Malaysia (IEM). Beliau juga memiliki sijil profesional lanjutan dalam pengurusan utiliti gas dan pemeriksaan kimpalan visual.
Beliau memulakan kerjaya pada tahun 1992 sebagai Penolong Pengarah/Pegawai Jentera dan Kilang di Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebelum menyertai Jabatan Bekalan Elektrik dan Gas, tempat beliau berkhidmat sehingga tahun 2000. Sejak menyertai Suruhanjaya Tenaga pada tahun 2001, beliau telah memegang pelbagai jawatan kepimpinan utama, dan dilantik sebagai Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan Industri pada tahun 2023 sehingga kini.
Sepanjang kerjaya beliau, Ir. Roslee telah memainkan peranan penting dalam merangka dasar dan pembangunan sektor tenaga negara. Beliau merupakan tokoh utama dalam pindaan Akta Bekalan Gas 1993 serta peneraju kepada pelbagai inisiatif tenaga peringkat nasional. Antara sumbangan utama beliau termasuk merangka dan menyemak semula dasar serta program tenaga boleh baharu seperti SELCO, NEM, CGPP, LSS, ENEGEM, CRESS dan CREAM, di samping memastikan pelaksanaan projek tenaga inisiatif kerajaan berjalan lancar dan berkesan. Beliau turut menerajui pembangunan pelan jangka panjang bagi industri bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia dengan penekanan kepada potensi tenaga boleh baharu dan daya saing ekonomi.

