Bantuan Mangsa Banjir Di Baling, Kedah
Pada 5hb Julai 2022, YAB PM telah mengumumkan bantuan untuk membantu mangsa-mangsa yang terkesan dengan kejadian banjir yang telah menenggelamkan rumah dan merosakkan peralatan elektrik di Lembangan Sungai Kupang dan Sungai Tiak, Baling, Kedah pada 4 Julai 2022.
- Bantuan oleh kerajaan Malaysia untuk membantu mangsa-mangsa banjir melalui pemberian rebat (bukan tunai) sehingga RM500 kepada setiap isi rumah yang terkesan dengan bencana banjir untuk membeli peralatan elektrik kegunaan harian di Kedai Berdaftar atau platform e-dagang yang mengambil bahagian.
- Pemberian rebat Pembelian Peralatan Elektrik Domestik ini akan menggunakan platform sistem dalam talian Program SAVE (Sistem yang diurus oleh SEDA Malaysia dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan badan swasta).
Objektif Program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia : Pembelian Peralatan Elektrik Domestik:
- Mengurangkan beban mangsa-mangsa banjir untuk membeli sebahagian peralatan elektrik kegunaan harian, bagi menggantikan peralatan elektrik yang telah rosak disebabkan banjir.
Kriteria kelayakan Program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia : Pembelian Peralatan Elektrik Domestik
Pemohon mestilah:
- Mangsa banjir di Lembangan Sungai Kupang dan Sungai Tiak, Baling, Kedah pada 4 Julai 2022 yang telah disenaraikan oleh pihak NADMA sahaja.
- Membeli peralatan elektrik kegunaan harian utama yang mempunyai label keselamatan oleh SIRIM – Suruhanjaya Tenaga.
Cara untuk menebus rebat di bawah Program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia : Pembelian Peralatan Elektrik Domestik ?
Terdapat 2 kaedah tersedia untuk pengguna iaitu:
- Kaedah 1: Pembelian dan penebusan di Kedai atau Pasar Raya Berdaftar; atau
- Kaedah 2 : Pembelian secara dalam talian.
* Kedua-dua kaedah ini beroperasi menggunakan platform SAVE oleh pekedai termasuk yang di dalam talian.
Maklumat dan dokumen yang diperlukan untuk menebus Program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia : Pembelian Peralatan Elektrik Domestik?
- Pemohon hanya perlu membawa salinan kad pengenalan ketika membuat pembelian.
- Hanya pemohon yang tersenarai dalam senarai mangsa banjir sahaja yang layak menebus rebat banjir tersebut.
SENARAI PENERIMA REBAT DAN KEDAI BERDAFTAR DALAM PROGRAM BANTUAN BANJIR KELUARGA MALAYSIA : PEMBELIAN PERALATAN ELEKTRIK DOMESTIK
Pautan / link:
- Senarai nama mangsa banjir di Baling, Kedah yang layak [klik sini]
*Senarai ini adalah senarai yg telah dimuktamadkan oleh pihak NADMA. Jika nama mangsa banjir tiada dalam senarai bolehlah menghubungi pihak PKOB yang bertugas di Kawasan Baling, Kedah, 04-702 8966.
- Senarai Kedai Berdaftar yang mengambil bahagian [klik sini]
Soalan Lazim
APA ITU PROGRAM BANTUAN BANJIR KELUARGA MALAYSIA: PEMBELIAN PERALATAN ELEKTRIK DOMESTIK?
- Bantuan oleh kerajaan Malaysia untuk membantu mangsa-mangsa banjir melalui pemberian rebat sehingga RM500 kepada setiap isi rumah yang terkesan dengan bencana banjir untuk membeli peralatan elektrik kegunaan harian di Kedai Berdaftar atau platform e-dagang yang mengambil bahagian.
- Pemberian rebat Pembelian Peralatan Elektrik (Bantuan Bencana Banjir) ini akan menggunakan platform sistem dalam talian Program SAVE (Sistem yang diurus oleh SEDA Malaysia dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan badan swasta).
APAKAH OBJEKTIF REBAT PEMBELIAN PERALATAN ELEKTRIK DOMESTIK?
Mengurangkan beban mangsa-mangsa banjir untuk membeli sebahagian peralatan elektrik kegunaan harian, bagi mengantikan peralatan elektrik yang telah rosak disebabkan banjir.
APAKAH KRITERIA YANG MELAYAKKAN SAYA UNTUK MENDAPATKAN BANTUAN INI?
Untuk mendapatkan rebat Pembelian Peralatan Elektrik Domestik, anda mestilah:
- Warganegara Malaysia
- Kediaman dimasuki atau ditenggelami air ketika banjir dan
- Tersenarai sebagai mangsa bencana banjir oleh pihak NADMA.
BERAPA JUMLAH REBAT YANG SAYA PEROLEH UNTUK REBAT PEMBELIAN PERALATAN ELEKTRIK DOMESTIK?
Setiap isi rumah layak untuk mendapat maksimum rebat hingga RM500 bagi pembelian peralatan elektrik domestik yang penting.
APAKAH JENIS BARANGAN ELEKTRIK YANG BOLEH DIBELI DI BAWAH REBAT PEMBELIAN PERALATAN ELEKTRIK DOMESTIK?
Sejumlah 15 barangan peralatan elektrik yang disenaraikan dan mempunyai label keselamatan oleh SIRIM-ST.
Senarai peralatan elektrik adalah disenaraikan di bawah:
– Peti Sejuk – Mesin Basuh – Kipas – Lampu – Periuk Nasi – Televisyen – Seterika |
– Ketuhar Elektrik – Blender – Cerek Elektrik – Penyedut hampagas – Dapur elektrik – Ketuhar Gelombang Mikro – Penyejuk beku (Freezer) – Penghawa dingin |
BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MENEBUS REBAT BANJIR UNTUK PEMBELIAN PERALATAN ELEKTRIK DOMESTIK?
Terdapat 2 kaedah tersedia untuk pengguna iaitu:
- Kaedah 1: Pembelian dan penebusan di Kedai atau Pasar Raya Berdaftar ; atau
- Kaedah 2 : Pembelian secara atas talian (e-dagang – Shopee / Lazada / PG Mall / Youbeli).
* Kedua-dua kaedah ini beroperasi menggunakan platform SAVE oleh pekedai termasuk yang di dalam talian.
BAGAIMANAKAH CARA UNTUK SAYA MENDAPATKAN REBAT PEMBELIAN PERALATAN ELEKTRIK DOMESTIK SEKIRANYA SAYA INGIN MEMBUAT PEMBELIAN SECARA DALAM TALIAN?
Langkah 1: Pilih mana-mana platform e-dagang yang tersenarai (Shopee, Lazada, PG Mall atau Youbeli) dan hanya klik pada logo e-dagang pilihan.
Langkah 2: Pilih Kedai Berdaftar dalam platform e-dagang dan hubungi/chat bersama pekedai untuk menyemak kelayakan menggunakan nombor kad pengenalan anda.
BAGAIMANAKAH SAYA INGIN MELIHAT SENARAI KEDAI / PASAR RAYA YANG BERDAFTAR DI BAWAH REBAT PEMBELIAN PERALATAN ELEKTRIK DOMESTIK?
Anda boleh melayari laman web mikro save.seda.gov.my/publics/retailer untuk melihat senarai Kedai / pasar raya Berdaftar di bawah Program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia: Pembelian Peralatan Elektrik Domestik.
BOLEHKAH PENYEWA RUMAH MEMOHON REBAT INI?
Boleh, sekiranya nama penyewa telah disenaraikan sebagai mangsa banjir oleh pihak NADMA, Sila rujuk senarai nama mangsa banjir [klik sini].
BOLEHKAH PEMILIKAN REBAT DIPINDAHKAN ATAU DITUKAR?
Pemilikan rebat TIDAK BOLEH dipindahkan atau ditukar.
BAGAIMANAKAH UNTUK MEMERIKSA KELAYAKAN BAGI PENEBUSAN REBAT BANTUAN INI?
Ada dua (2) kaedah;
- Anda boleh menyemak terus senarai yang telah diterima oleh pihak NADMA [klik sini], atau
- Pergi ke Kedai Berdaftar dan pekedai boleh membantu menyemak kelayakan menggunakan nombor kad pengenalan anda.
SEKIRANYA SAYA BERMINAT UNTUK MEMBUAT PEMBELIAN MELALUI PEKEDAI / PERUNCIT PERALATAN ELEKTRIK BERDAFTAR, BOLEHKAH SAYA MEMBAWA KAD PENGENALAN DI DALAM BENTUK SALINAN DIGITAL (SOFT COPY) SAHAJA?
Boleh, walau bagaimanapun anda diwajibkan untuk membawa kad pengenalan asal / salinan untuk memudahkan proses pengesahan dan urusan rebat pembelian.
JIKA SAYA TELAH MENEBUS REBAT MELALUI E-DAGANG TETAPI SAYA SEKARANG INGIN MENEBUS REBAT LAGI MELALUI PEKEDAI/PERUNCIT, ADAKAH IANYA DIBENARKAN?
Anda hanya boleh membuat penebusan di salah satu platform sahaja sama ada melalui e-dagang atau pekedai / peruncit yang berdaftar.
BERAPA LAMA KAH MASA YANG DIAMBIL UNTUK MENEBUS REBAT PEMBELIAN PERALATAN ELEKTRIK DOMESTIK?
Pemohon yang layak boleh membuat penebusan secara terus pada hari yang sama melalui Kedai dan pasar raya Berdaftar atau platform e-dagang yang mengambil bahagian.
ADAKAH SAYA BOLEH MEMOHON BANTUAN REBAT SEKIRANYA PERALATAN ELEKTRIK TELAH DIBELI SEBELUM 1HB NOVEMBER 2022 ATAU SELEPAS 31 NOVEMBER 2022?
Tidak boleh, sistem permohonan ini berfungsi pada 1hb November 2022 sehingga 31 November 2022, dan permohonan hanya diterima bagi pembelian peralatan elektrik domestik yang dibuat bermula 1hb November 2022 sehingga 31 November 2022 sahaja.
SEKIRANYA SAYA MENGALAMI MASALAH, BAGAIMANAKAH CARA SAYA UNTUK MENGHUBUNGI PEGAWAI BAGI PROGRAM BANTUAN BANJIR KELUARGA MALAYSIA: PEMBELIAN PERALATAN ELEKTRIK DOMESTIK?
Anda boleh menghubungi Bilik Gerakan Pengurusan Bencana Bahagian / Daerah Baling. Ini kerana pihak kami tidak terlibat dengan pendaftaran dan pengesahan mangsa-mangsa banjir yang terkesan di Baling yang lepas.
BILIK GERAKAN PENGURUSAN BENCANA BAHAGIAN / DAERAH BALING
PEJABAT DAERAH DAN TANAH BALING,
09100 BALING,
KEDAH
NO. TEL: 04-702 8966