KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) — Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dan Kumpulan Jakel berkongsi kemeriahan Raya Aidilfitri yang bakal tiba bersama Rumah Bakti Nur Syaheerah melalui program ‘Shopping Raya’ di Jakel Mall, Kuala Lumpur pada 2 April 2024 (Selasa).
Aktiviti ini yang merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Tautan Kasih SEDA Malaysia merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan sejak tahun 2021 bersama rumah anak-anak yatim dan asnaf yang terpilih. Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia, YBhg. Dato’ Hamzah Hussin, berserta Pihak Pengurusan turut hadir membantu 30 anak-anak yatim dan miskin itu memilih kelengkapan Aidilfitri.
Bagi tahun ini, Kumpulan Jakel juga turut bekerjasama menjalankan program ini dengan sumbangan serta pemberian duit raya yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, YBhg. Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel kepada anak-anak Rumah Bakti Nur Syaheera.
“Program Shopping Raya yang kami jalankan sejak tahun 2021 ini bertujuan untuk meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan, sekali gus berkongsi kemeriahan Raya Aidilfitri yang disambut oleh seluruh umat Islam. Kami berharap program ini dapat memberikan keceriaan kepada anak-anak Rumah Bakti Nur Syaheerah ini dan menyemarakkan lagi amalan bersedekah di bulan Ramadan,” ujar Dato’ Hamzah.
Sejumlah RM14,800 disumbangkan bagi program ini bagi pembelian sepersalinan kelengkapan raya oleh anak-anak Rumah Bakti Nur Syaheerah yang berumur satu sehingga 17 tahun. Selain baju raya, SEDA Malaysia turut menyampaikan sumbangan berbentuk ‘goodies‘ dan duit raya bagi persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Source: Bernama