Fungsi-fungsi SEDA

SEDA berfungsi sepertimana yang telah termaktub di bawah Akta Tenaga Boleh Baharu 2011, atau mengikut mana-mana undang-undang tenaga lestari yang mempunyai fungsi berikut:

  • menasihati Menteri dan Entiti Kerajaan yang berkaitan tentang segala perkara yang berhubungan dengan tenaga lestari, termasuklah syor tentang dasar, undang-undang dan tindakan yang hendaklah dipakai untuk menggalakkan tenaga lestari;
  • menggalakkan dan melaksanakan objektif dasar negara bagi tenaga boleh baharu;
  • menggalakkan, merangsang, memudahkan dan membangunkan tenaga lestari;
  • melaksanakan, menguruskan, memantau dan mengkaji semula sistem tarif galakan, termasuklah menjalankan penyiasatan, mengumpulkan, merekodkan dan menyelenggarakan data, maklumat dan statistik berkenaan dengan sistem tarif galakan dan memberikan data, maklumat dan statistik itu kepada Menteri sebagaimana yang dikehendakinya dari semasa ke semasa;
  • melaksanakan undang-undang tenaga lestari dan mengesyorkan pembaharuan kepada undang-undang itu kepada Kerajaan Persekutuan;
  • menggalakkan pelaburan sektor swasta dalam sektor tenaga lestari, termasuklah mengesyorkan kepada Entiti Kerajaan yang berkaitan insentif berhubungan dengan cukai, duti kastam dan eksais dan insentif fiskal yang lain yang terpakai bagi pelaburan itu;
  • menjalankan atau mengatur perjalanan penyelidikan, penilaian, kajian dan perkhidmatan nasihat, mengumpul, menganalisis dan menyiarkan maklumat, statistik dan faktor yang mempengaruhi atau yang berkaitan dengan pembangunan tenaga lestari, dan meneyebarkan maklumat, statistik dan faktor yang berkaitan itu kepada Entiti Kerajaan, orang awam dan pelabur atau pelabur berpotensi yang melabur dalam tenaga lestari;
  • mengendalikan, menggalakkan dan menyokong, mengikut cara yang difikirkan patut oleh SEDA Malaysia aktiviti penyelidikan dan inovasi yang berhubungan dengan tenaga lestari;
  • menjalankan, menggalakkan dan menyokong, mengikut cara yang difikirkan patut oleh SEDA Malaysia, latihan atau program lain yang berhubungan dengan pembangunan sumber manusia dan pembinaan keupayaan dalam sektor tenaga lestari;
  • melaksanakan langkah-langkah bagi menggalakkan penyertaan orang awam bagi menambah baik kesedaran mengenai perkara yang berhubungan dengan tenaga lestari;
  • bertindak sebagai tumpuan untuk membantu Menteri tentang— (i) perkara yang berhubungan dengan tenaga lestari; dan (ii) perkara pemanasan sejagat yang berhubungan dengan tenaga,;dan
  • menjalankan apa-apa fungsi lain yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang tenaga lestari dan melaksanakan apa-apa fungsi lain yang merupakan tambahan kepada, bersampingan dengan, atau berbangkit dari mana-mana fungsi yang dinyatakan di atas.

Sumber: Seksyen 15 Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 [Akta 726]