Aplikasi Teknologi Hijau Bagi Pembangunan Bandar Karbon Rendah (GTALCC) merupakan sebuah projek dengan objektif utamanya untuk menyelia inisiatif rendah karbon di sekurang-kurangnya lima buah bandar di Malaysia. Projek ini akan menjadi contoh pendekatan yang jelas dan bersepadu dengan mengurangkan kekangan terhadap perancangan dan pembangunan bandar rendah karbon bersepadu melalui tiga kaedah:

  • Sokongan polisi untuk mempromosi pembangunan bandar rendah karbon bersepadu, yang membolehkan bandar-bandar melaksana dan menerima rancangan dan program pembangunan karbon rendah bersepadu;
  • Memberi kesedaran dan pembangunan kapasiti institusi untuk mempercepatkan penilaian, kelulusan, dan pelaksanaan pembangunan perbandaran yang strategik, dan memastikan bandar-bandar ini peka akan perancangan dan pelaksanaan aplikasi teknologi rendah karbon; dan
  • Untuk menggalakkan pelaburan teknologi rendah karbon dan pembangunan hijau di bandar-bandar di Malaysia.

Projek ini dijangka dapat mengurangkan pelepasan GHG sebanyak 346,442 tan CO2 yang setara (tCO2eq) di penghujung projek pada tahun 2019, dan 2,152,032 tC02eq sepanjang jangkamasa pelaburan projek. Pengurangan ini akan menyumbang kepada sasaran Kerajaan untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG oleh KDNK sebanyak 45% menjelang tahun 2030, berbanding dengan tahap pada tahun 2005 seperti yang dijanjikan oleh Malaysia di Persidangan Parti-Parti ke-21 (21st Conference of the Parties (COP21)) di Paris pada akhir tahun 2015.

Malaysia telah berjanji bahawa pencapaian 35 peratus dari sasaran ini adalah tanpa syarat, dengan 10 peratus lagi adalah bersyarat setelah menerima pembiayaan iklim yang mencukupi, pemindahan teknologi yang sesuai dan pembangunan kapasiti dari negara-negara maju. Mencapai sasaran ini pastinya satu cabaran bagi kita kerana ia memerlukan kerjasama dan komitmen dari setiap warganegara bukan hanya dari sektor awam dan swasta. Pengetahuan mengenai pembangunan rendah karbon, ekonomi dan pembangunan lestari perlu dididik secara meluas kepada orang awam.

Pihak berkuasa dilantik sebagai agensi pelaksana untuk projek ini dan telah menerima geran sebanyak RM4.3 juta untuk proses pelaksanaan serta pentadbiran dan perkhidmatan teknikal. Bengkel pertama telah diadakan pada Q4 2016 dan laporan mengenai bengkel pertama, perkembangan, tahunan dan rancangan kerja tahunan telah dilengkapkan dan diserahkan kepada KeTTHA dan UNDP. Projek ini akan berjalan selama lima tahun, di mana pihak yang berkepentingan akan berpotensi menjadi rakan kongsi strategik untuk projek-projek lain pada masa akan datang.

Bagi membolehkan Malaysia berada setaraf dengan negara-negara lain yang peka alam sekitar seperti Denmark dan Sweden, penyertaan dan penglibatan masyarakat memainkan peranan penting dalam merangka strategi dan mencipta idea-idea baru ke atas pelaksanaan pembangunan bandar rendah karbon yang boleh dilakukan di Malaysia. Oleh yang demikian, pada tahun 2017, fokus GTALCC telah menekankan pembangunan modal insan melalui latihan-latihan termasuk sesi melatih pelatih dan program perintis untuk pegawai yang cekap. Ini bagi mengukuhkan kepakaran tempatan dan mewujudkan permintaan dan penawaran pakar bandar rendah karbon untuk negara. Pihak berkuasa tempatan dan masyarakat diberi kesempatan untuk mengambil bahagian dalam program-program promosi dan kesedaran masyarakat. Semua pihak yang berkepentingan harus berhubung rapat dalam proses kaji semula polisi, piawaian dan garis panduan bagi pembentukan bandar rendah karbon.

Untuk maklumat lanjut, sila layari : gtalcc.gov.my